POLIS menafikan dakwaan seorang wanita yang mengatakan dia dihalang daripada memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam untuk membuat laporan kerana memakai seluar pendek paras bawah turut.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid, berkata wanita berusia lingkungan umur 35 hingga 40 tahun itu sebaliknya memakai seluar pendek paras peha dan dinasihatkan supaya menukar seluar yang lebih sesuai jika ingin berurusan di IPD.
Menurutnya, ia selaras dengan etika pemakaian untuk berurusan di premis kerajaan dan gambar etika pakaian pelawat juga ada dilekatkan pada Pos Kawalan sebagai rujukan.
“Pada kira-kira jam 10.30 pagi semalam seorang wanita menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) memaklumkan ingin membuat laporan polis berkaitan kemalangan kereta.
“Anggota sentri bertugas memaklumkan supaya wanita itu meletakkan kenderaannya di belakang IPD disebabkan tempat letak kereta tidak mencukupi.
“Selain itu, anggota sentri juga mendapati wanita berkenaan memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut) dan menasihatinya supaya menukar seluar yang lebih sesuai jika mahu berurusan di IPD,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, wanita itu bagaimanapun tidak berpuas hati dan enggan mengikut arahan pada awalnya serta memprovokasi anggota bertugas.
“Anggota bertugas sekali lagi menasihatinya secara berhemah dan meminta dia menukar seluar yang lebih bersesuaian. Wanita itu kemudiannya memandu keluar dari IPD sebelum datang semula kira-kira 15 hingga 20 minit kemudian,” katanya.
Mohd Zaid berkata, wanita terbabit didapati sudah memakai seluar panjang sebagaimana dalam gambar yang ditukar dan dilaporkan sebuah portal berita hari ini.
“Isu ini telah ditularkan dengan dakwaan wanita berkenaan dilarang masuk ke dalam kawasan Balai Polis walaupun telah memakai seluar yang sesuai.
“Pemakaian seluar panjang sebagaimana dalam gambar yang tular di portal berita berkenaan adalah selepas wanita itu menukar seluar selepas dinasihatkan oleh anggota bertugas,” katanya.
Beliau berkata, untuk makluman, IPD Kajang berurusan dengan anggaran 300 orang sehari dan setakat ini, tiada apa-apa masalah yang timbul mengenai isu pakaian. – Malaysiapost

