PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tidak wajar pihak yang pernah “memberikan kontrak kepada anak menantu” turut menyatakan bangkangan terhadap lantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kewangan dan ekonomi kepadanya.
Beliau bagaimanapun bersikap terbuka mendengar kritikan pelbagai pihak terhadap pelantikan anak sulungnya itu sebagai penasihat Perdana Menteri.
Menurutnya, Nurul Izzah hanya dilantik untuk membantu kerajaan termasuk memastikan segala proses pemberian kontrak dan tender dilakukan secara teratur.
“Jika yang mengkritik pelantikan itu ikhlas, katanya, dia tidak ada masalah untuk mendengar kerana mereka mahu memastikan tiada amalan tidak sihat berlaku dalam kerajaan.
“Tapi orang yang kritik ini termasuk orang yang memberi kontrak kepada anak dia, tak apa pulak?
“Ada (pelantikan) yang ada gaji tapi tak ada kerja banyak seperti penasihat dan duta-duta (khas), macam-macam…. itu kita harus bezakan,” katanya di Bukit Jalil, hari ini.
Anwar berkata, beliau memberi jaminan pentadbiran sekarang akan tidak bertolak ansur dengan sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Tidak wajar bagi orang yang memberikan ratusan juta kontrak kepada anak dan menantu – ada yang mencecah billion ringgit semasa jadi PM (perdana menteri) dan sekarang cuba nak cakap tentang ketelusan,” katanya.
Menurut Anwar kerajaan tidak akan membenarkan pelantikan Nurul Izzah membawa kepada salah guna kuasa, mendapatkan kontrak atau menerima upah yang tinggi.
“Ini tidak akan berlaku,” katanya.
Tambah beliau lagi, jawatan yang diberikan kepada Nurul Izzah adalah berkaitan dengan Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Kewangan (MOF) namun tidak diberikan sebarang ganjaran.
Menjawab soalan sama ada Nurul Izzah turut mempunyai jawatan dan pejabat di MOF, Anwar memberitahu anaknya itu bertugas membantunya.
“Tapi saya rasa kena carilah pejabat untuk dialah. Tak ada pejabat pun tak boleh kut,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada bapanya.
Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi jawatan berkenaan, berkuat kuasa 3 Januari lalu. – Malaysiapost

