ORANG ramai kini boleh membuat dan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam satu hebahan di laman rasmi Facebook Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), perkhidmatan itu disediakan bagi rakyat Malaysia yang ingin membuat permohonan kali pertama serta pembaharuan pasport antarabangsa.
“Pejabat Pasport KLIA telah beroperasi dan menyediakan kemudahan perkhidmatan permohonan kali pertama serta pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa.
“Pejabat ini dapat memudahkan urusan orang ramai yang terletak berhampiran KLIA,” menurut hebahan yang disediakan Unit Komunikasi Korporat Ibu Pejabat JIM, Putrajaya, hari ini.
Berdasarkan hebahan itu, orang ramai boleh mendapatkan kemudahan membuat dan memperbaharui pasport itu pada Isnin hingga Jumaat pada jam 8 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada hari minggu serta cuti umum.
Pejabat Pasport KLIA terletak di Blok 2 Long Term Car Park (LTCP), Jalan CTA 3, KLIA, Sepang dan boleh dihubungi di talian 03-87769379. – Malaysiapost

