Mangsa banjir Sabah, Johor meningkat

0
2

JUMLAH mangsa banjir di Sabah dan Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan sedikit peningkatan pagi ini.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,532 orang daripada 560 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS, berbanding 1,376 mangsa daripada 522 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan aerah Pitas mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,152 orang daripada 450 keluarga, diikuti Telupid 226 orang daripada 59 keluarga, Paitan 111 orang daripada 40 keluarga serta Lahad Datu, membabitkan 43 orang daripada 11 keluarga.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di empat daerah meningkat kepada 2,138 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,113 orang pada 8 malam tadi dengan 22 PPS masih beroperasi di empat daerah iaitu Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat.

Daerah Batu Pahat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 879 orang, diikuti Mersing (823), Kota Tinggi (344) dan Segamat (92), menurut JBPN dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sungai Endau di Mersing masih merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 2.38 meter, namun menunjukkan tren penurunan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan luruan monsun yang berlaku di rantau negara dijangka berlarutan sehingga 4 Februari ini.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia berdasarkan analisis model-model cuaca yang telah dijalankan.

Keadaan itu katanya, berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung, Sarawak dan timur Sabah dalam tempoh tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here