Pergolakan politik Sabah: Umno umum tempoh bertenang – Zahid

0
1

MESYUARAT Khas Umno Sabah hari ini mengumumkan tempoh bertenang dalam usaha menangani serta menyelesaikan kemelut politik di negeri itu yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kepimpinan Umno Pusat serta Umno Sabah berpandangan tiada isu yang tidak boleh diselesaikan.

Sehubungan itu katanya, beberapa pendekatan akan diambil dan kaedah tertentu disusun atur bagi mengembalikan kestabilan politik di negeri itu.

“Namun kita faham penyelsaian ini memerlukan persefahaman dua hala antara Barisan Nasional (BN) dan parti-parti politik lain.

“Untuk itu dalam hal ini pendekatan kita tentunya memberi keutamaan kepada agenda rakyat Sabah dan pencerahan terhadap kekeliruan yang ada,” katanya di Kota Kinabalu.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri hadir mesyuarat khas Badan Perhubungan Umno Sabah di bangunan Umno negeri.

Tambah Ahmad Zahid, kepimpinan Umno dan BN sedia duduk bersama secara tertutup dengan kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta parti-parti sekutunya.

“Jika semua pihak mahu cari jalan terbaik, kita boleh duduk secara tertutup untuk cari penyelsaian dalam apa juga situasi,” katanya lagi.

Dalam tempoh bertenang itu, beliau berharap kedua-dua pihak termasuk BN tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah hingga mengeruhkan kembali keadaan.

“Sementara (tempoh bertenang) itu jangan ada spekulasi atau kenyataan bercanggah di pihak kami atau sebelah sana untuk kita cari titik persamaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sampai bila ‘tempoh bertenang itu berkuat kuasa’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here