KEDUA-DUA bekas tokoh politik Umno yang dipecat baru-baru ini dijangka berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan parti lain sekiranya berhasrat menyertai mana-mana politik untuk kekal relevan dalam arus politik negara.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, imej menebal Umno yang ada pada Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin akan menyebabkan mereka sukar untuk menyertai mana-mana parti berikutan perbezaan ideologi yang diperjuangkan selama ini.
“Sebenarnya mereka ini jiwanya Umno, susah nak masuk mana-mana parti sebab tak sama dengan apa yang mereka perjuangkan selama ini.
“Sebenarnya, mereka cuma mahu Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) letak jawatan sahaja. Memang tak sesuai dengan parti lain,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Dr Salawati berkata demikian ketika ditanya adakah wajar Noh dan Khairy menyertai parti lain bagi meneruskan kelangsungan politik mereka.
Bagaimanapun Dr Salawati menjelaskan, kedua-dua tokoh politik itu boleh menyertai parti lain dengan syarat menukar corak pemikiran dan idealogi mengikut kesesuaian parti yang disertai.
“Kalau masuk parti lain pun, idealism tak sama. Mereka akan dikesampingkan.
“Mungkin mereka boleh masuk parti lain tetapi kena tukar coraklah,” katanya.
Ditanya, adakah wajar Noh dan Khairy menubuhkan parti lain ketika ini, Dr Salawati berkata, langkah itu tampak kurang bijak dan tidak sesuai dengan senario politik negara.
Katanya, apa yang wajar dilakukan mereka adalah mengambil pendekatan bertenang dahulu sambil memikirkan semasak-masaknya sebelum mengorak langkah seterusnya.
“Ya bertenang dahulu, kena ada ‘cooling period’, itu lebih baik. Setiap tindakan yang harus diambil perlu difikirkan baik buruknya untuk kelangsungan politik mereka.
“Kalau nak tubuh parti baharu, banyak dah parti baharu, itu langkah yang tidak sepatutnya kerana bukan senang nak tubuh parti baharu ini.
“Tengoklah kebanyakan parti baharu yang ada ni, ibarat hidup segan mati tak mahu, memang sukar,” katanya.
Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengambil tindakan drastik memecat Noh dan Khairy kerana tindak-tanduk mereka sebelum ini telah melanggar disiplin parti.
Khairy, bekas Ahli Parlimen Rembau didakwa antara punca prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) merosot pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan ucapannya ketika berkempen yang menyerang Umno.
Manakala Noh yang merupakan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang pada mulanya hanya digantung keahlian Umno enam tahun namun mencabar MKT untuk memecatnya.
Noh didakwa telah melanggar disiplin parti kerana dikatakan mensabotaj BN dengan menaja bekas pegawai khasnya bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Tanjong Karang pada PRU15 lalu. – Malaysiapost
Kredit foto: BH Online

