BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilamar oleh sebuah stesen radio, Hot FM sebagai gandingan baharu bersama Johan, Farah Fauzana serta AG dalam segmen Bekpes Hot.
Hot FM menerusi surat terbuka yang dimuat naik di laman Instagramnya memaklumkan, pihaknya ingin menawarkan bekas Menteri Kesihatan itu jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.

“Dengan sukacitanya Hot FM ingin menawarkan jawatan sebagai penyampai radio Hot FM yang akan bergandingan dengan Johan, Fara Fauzana dan AG.
“Kami di Hot FM sentiasa mengalu-alukan kedatangan penyampai baharu. Kami percaya gandingan terbaharu ini bakal menjadi gandingan yang hangat dan terbaik.
“Kami berbesar hati dan berharap Tuan Khairy Jamaluddin menerima tawaran ini,” menurut surat itu.
Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan pantas ‘meminang’ bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagi dilantik sebagai Ketua
Pegawai Eksekutif (CEO) kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT)
Tawaran itu dibuat oleh pemilik JDT sendiri di Instastory miliknya malam tadi.
“Bakal CEO JDT dan penasihat belia Johor,” tulis baginda di laman Instastory miliknya.
Dalam masa yang sama, bekas Menteri Kesihatan itu juga sempat memanjatkan rasa syukurnya terhadap jawatan berkenaan di laman Instastory miliknya.
Khairy antara individu yang dipecat daripada Umno selain bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, pada Jumaat lalu. –
Malaysiapost

