KHAIRY Jamaluddin menegaskan beliau tidak kecewa atau tunduk dengan pemecatannya sebagai ahli Umno, malam tadi.
Bekas Ketua Pemuda Umno dan bekas Ahli Parlimen Rembau itu menerusi kenyataan ringkas dilaman sosial rasminya berkata, beliau juga tidak terkesan dengan keputusan itu.

“Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. ‘Unbowed, unbent, unbroken’,” katanya.
Terdahulu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan malam tadi mengesahkan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Tan Sri Noh Omar dan Khairy dipecat daripada Umno.
Kedua-dua mereka dipecat parti disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Ahmad turut mengumumkan ahli Umno yang digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan. – Malaysiapost

