‘Selamat tinggal Umno’ – Azhar Sulaiman

0
3

PELAKON dan ahli perniagaan, Azhar Sulaiman hari ini memberi bayangan akan meninggalkan Umno.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Azhar yang juga ahli Umno Cawangan Bentong turut memuat naik klip video dirinya menurunkan dan melipat kemas bendera Barisan Nasional (BN).

Selain ucapan selamat tinggal, dia juga berharap parti itu akan terus kekal dalam keadaan baik selepas ketiadaannya.

“Selamat Tinggal Umno.. Semoga semuanya akan menjadi baik-baik sahaja selepas ini.

“Mami (saya) pergi dulu, Terima kasih di atas segala pertolongan dan bantuan yang telah diberikan kepada Mami secara sedar atau pun tidak selama ini.

“Saya amat menghargainya, selamat tinggal dan jaga diri,” tulisnya.

Walaupun tidak menyatakan dengan jelas keputusan berkenaan, namun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan Umno memecat dan menggantung keahlian pemimpin parti itu malam tadi.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi, memecat Timbalan Ketua Bahagian Rembau, Khairy Jamaludin dan bekas Ketua Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada parti.

Sementara, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.

Sebelum ini, Azhar antara barisan artis yang menggesa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dan meletak jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here