Kezaliman mereka tidak akan menghapuskan kebaikan kita – Hishammuddin

0
2

“KEZALIMAN mereka tidak akan menghapuskan kebaikan kita,” kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Reaksi terbaharu bekas Menteri Pertahanan yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya dipercayai ada kaitan dengan penggantungan keahliannya dalam Umno seperti yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi.

Menerusi hantaran itu, beliau turut memuat naik gambar bersama seorang penyokongnya yang sedang menangis.

Hantaran itu kemudian mendapat komen bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan keputusan bukanlah satu pengakhiran.

“Siapa sangka ini menjadi sebahagian daripada perjalanan kita. Tetapi, seperti yang saya katakan, itu bukan penamat. Ia jauh lagi sebelum berakhir,” kata Khairy dalam ruangan komen hantaran Hishammuddin.

Reaksi ringkas kedua-dua pemimpin itu memberikan kesan mendalam khususnya dalam kalangan orang ramai yang meninggalkan komen agar mereka bersabar dengan ujian tersebut di samping terus menyokong walaupun apa jua melanda Hishammuddin dan Khairy.

Selain Khairy, seorang lagi pemimpin Umno iaitu bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat sebagai ahli parti dalam mesyuarat MKT malam tadi berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuklah Hishammuddin, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian Umno Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here