Usaha bersepadu redakan kenaikan harga makanan – Rafizi

0
1

USAHA meredakan kenaikan harga makanan dan minuman perlu dilakukan secara bersepadu oleh kerajaan, peniaga dan pengguna, tegas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Menurutnya, beliau menyambut baik pandangan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak isu berkenaan.

Beliau berkata, seperti perangkaan inflasi diumumkan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) baru-baru ini, walaupun inflasi bagi Disember 2022 mereda, kategori harga di restoran dan hotel adalah satu-satunya kategori harga yang masih belum mereda.

Katanya, kategori itu membabitkan kenaikan 7.4 peratus dalam Disember 2022 berbanding 7.0 peratus bulan sebelumnya.

“Pandangan Datuk Jawahar adalah selari dengan pandangan Kerajaan supaya pengguna peka kepada kenaikan harga makanan dan minuman yang dibeli dan bijak memilih kedai dan restoran yang menawarkan harga yang lebih baik.

“Usaha mengekang inflasi memerlukan semua pihak menggembleng usaha bersama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada pandangan Jawahar dalam program Dialog Tiga Penjuru Astro Awani, semalam. yang antaranya berpendapat boikot agak keterlaluan, namun pengguna bijak memilih.

Jawahar menyarankan supaya pengguna menggunakan hak mereka memilih kedai yang bersesuaian dengan kemampuan kerana kenaikan harga barang tak dapat dielak.

Rafizi berkata, ketika ini kerajaan sedang meningkatkan akses pengguna kepada maklumat harga yang boleh membantu pengguna membeli dari kedai yang harganya lebih seiring dengan harga purata setempat.

“Saya juga sedia maklum beberapa cabaran pengusaha restoran yang berdepan dengan kenaikan kos lain, seperti kos pekerja akibat pelaksanaan gaji minima RM1,500.

“Ada beberapa langkah yang sedang diperhalusi pelaksanaannya untuk membantu peniaga dan pengusaha restoran menangani kenaikan-kenaikan yang mereka tanggung.

“Ini termasuklah potensi menyebarluas model tenaga kerja sambilan (gig workforce) dalam sektor restoran dan kedai makan (F&B),” katanya.

Menurutnya, ia adalah sebahagian dari usaha untuk menyelaraskan pasaran kerja dengan tuntutan sektor ekonomi, yang menjadi sebahagian dari usaha menyeluruh menstrukturkan kembali ekonomi negara.

“Dalam masa terdekat ini, saya akan bertemu dengan wakil-wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan.

“Ia bagi membincangkan secara dua hala langkah-langkah yang boleh diambil bersama oleh kerajaan dan pengusaha restoran dan peniaga makanan,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here