ARMADA Bersatu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membakar al-Quran oleh politikus ekstrem sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan, baru-baru ini.
Ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata lebih malang lagi apabila perbuatan keji itu dibenarkan oleh kerajaan Sweden di atas nama kebebasan bersuara.
“Armada membantah sekeras-kerasnya pendirian yang diambil oleh kerajaan Sweden kerana kami percaya bahawa kebebasan bersuara bukanlah termasuk kebebasan untuk menghina agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Armada mendesak Wisma Putra untuk memanggil kedua-dua Duta Besar Denmark dan Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras Malaysia terhadap jenayah keji itu.
“Tindakan memanggil duta berkenaan penting untuk menunjukkan Malaysia memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan jenayah yang telah berulang kali dilakukan oleh Paludan ini,” katanya.
Sabtu lalu, Rasmus menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – Malaysiapost

