Sultan Johor, TMJ kurnia bantuan kepada mangsa banjir

0
2

DALAM usaha meringankan beban mangsa banjir, sebanyak 304 kotak bantuan makanan kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar disampaikan kepada tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Labis, Segamat, hari ini.

Sumbangan peribadi Baginda itu disampaikan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) oleh Mejar Cina Datuk David Wong bersama Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim dan Penolong Pegawai Daerah, Muhammad Lufti Abas.

“Sumbangan disampaikan di PPS SK Kampung Tenang, PPS Kampung Sungai Gatom serta PPS Kampung Usaha Jaya dengan kerjasama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) turut sama membantu menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

“David turut meluangkan masa beramah mesra bersama mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan sejak tiga hari lalu,” menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim, juga menyampaikan sumbangan kurniaan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di PPS beberapa daerah di negeri berkenaan, hari ini.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, memaklumkan bantuan kurniaan itu diagihkan kepada empat PPS di Mersing membabitkan 224 keluarga, tiga PPS di Batu Pahat (50 keluarga) dan empat PPS di Muar (86 keluarga).

“Penyampaian tersebut telah disempurnakan oleh JMF,” menurut hantaran itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here