SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan menerima persembahan laporan terkini Pasukan Petugas Khas semakan undang-undang kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, hari ini.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Baginda terdahulu berkenan menerima mengadap tiga Menteri Persekutuan di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Menteri berkenaan adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

“Pertemuan bersama Baginda Tuanku Sultan berlangsung selama hampir dua jam.
“Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
“Tetamu-tetamu kehormat turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari bersama Sultan Johor,” menurut hantaran itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pada 13 Disember lalu, mahu isu tuntutan Pulau Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.
Beliau berkata, ia supaya tidak timbul sebarang masalah berhubung isu hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Saya minta Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) bagi penjelasan tentang kontroversi tuntutan Pulau Batu Puteh yang sekarang telah dipindahkan ke Singapura oleh ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) dan beberapa kesan sampingan.
“Saya minta (perkara) itu diteliti supaya ada rundingan lebih bermakna dengan Singapura,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet. – Malaysiapost

