Sidang media Rafizi mengenai indeks harga pengguna jadi tumpuan

0
2

SIDANG media Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkenaan Indeks Harga Pengguna Disember 2022 hari ini dijangka menarik perhatian ramai.

Sidang media tersebut dijadual berlangsung pada jam 1 tengah hari di pejabatnya di Putrajaya dan akan turut disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Intipati sidang media tersebut antara lain dijangka turut mengupas mengenai harga bahan mentah yang menurut Rafizi telah mengalami penurunan harga.

Bagaimanapun laporan media menunjukkan sebaliknya apabila golongan peniaga menafikan harga bahan telah turun.

Minggu lalu, Rafizi menggesa peniaga restoran dan kedai makan untuk menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang dakwanya telah turun.

Rafizi berkata, beliau mendapati ada sesetengah peniaga makanan masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman, meskipun harga bahan mentah mengalami penurunan.

Semantara itu sebahagian warga maya menerusi komen di Facebook Rafizi menyindir adakah sidang media hari ini akan membuatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) terduduk.

Bulan lalu, Rafizi berkata, pemimpin PN yang mempertikai kenyataan beliau berhubung isu penawaran dan permintaan barangan akan ‘terduduk’ dalam sebulan lagi setelah langkah itu difahami rakyat dengan rasional.

Menurut Menteri Ekonomi itu, usaha untuk menyuntik keanjalan dalam permintaan diperlukan sebagai satu mekanisme kawalan harga.

Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, setelah genap sebulan tiada sesiapa ‘terduduk’ seperti didakwa Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR.

Sebaliknya, katanya, rakyat pula dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan lawak jenaka dari Rafizi saban hari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here