Banjir kali ini luruan ketiga MTL – Armizan

0
2

BENCANA banjir yang melanda negara ketika ini adalah episod ketiga bagi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 yang bermula awal November 2022 dan diramalkan akan berlaku empat hingga enam episod lagi daripada monsun berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, berkata episod ketiga setakat hari ini, telah menjejaskan tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan Sabah.

“Episod luruan monsun membawa keadaan cuaca buruk melibatkan antaranya hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.

“Sebelum episod ketiga ini, sejak bermulanya MTL 2022/2023 pada awal November lalu, sebanyak dua luruan monsun telah berlaku iaitu pada 7 hingga 12 Disember 2022 dan 17 hingga 26 Disember 2022.

“Diramalkan MTL 2022/2023 akan berlaku sebanyak empat hingga enam episod luruan monsun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak bermulanya MTL 2022/2023 pada November 2022 sehingga 25 Januari 2023, seramai 121,594 mangsa daripada 34,357 keluarga telah dipindahkan ke 444 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang membabitkan bencana banjir dan air pasang besar.

Sementara itu, Armizan memaklumkan semua urusan penyelarasan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan lain-lain bantuan untuk Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan banjir di tiga negeri terjejas ketika ini akan diuruskan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Beliau yang turut berkesempatan melawat dua PPS di Segamat, Johor hari ini, mengingatkan kepada semua agar peka dengan amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

“Mereka yang terkesan dengan banjir dinasihatkan untuk menjaga keselamatan dan tidak bertangguh untuk berpindah ke PPS sekiranya menerima arahan pihak berwajib bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

“Pada masa sama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah diarah memastikan semua Pusat Kawalan Operasi (PKOB) di peringkat negeri dan daerah terbabit untuk bersiap sedia sebarang kemungkinan,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here