DBKL serbu Sungei Wang Plaza, 11 premis diarah tutup

0
2

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan tindakan khas terhadap premis dikendalikan warga asing di sekitar kompleks beli-belah Sungei Wang Plaza, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan susulan operasi yang bermula lewat petang semalam hingga jam 9 malam tadi, sebanyak 11 premis diarah tutup serta merta.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan menerusi pemerhatian dan risikan khas oleh pasukan penguat kuasa DBKL sejak seminggu lalu.

“Serbuan secara mengejut ke atas 14 premis perniagaan melibatkan aktiviti penjualan pakaian, kasut, beg, aksesori telefon, aksesori komputer, membaiki peralatan elektrik dan salon kuku yang dikendalikan warga Bangladesh, Pakistan dan Myanmar.

“DBKL membuat semakan ke atas 27 orang pembantu atau pengendali premis warga asing dan membuat tindakan penutupan serta merta terhadap 11 premis menerusi Sek.101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, DBKL turut mengeluarkan 14 notis kompaun terhadap premis-premis berkenaan menerusi Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 membabitkan empat notis Tiada Lesen Perniagaan dan 10 notis Lantik Pembantu Tiada Kebenaran.

“Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan atau pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah.

“DBKL akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pemerhatian di semua lokasi tumpuan lain melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan dikendalikan oleh warga asing.

“DBKL juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara mengikut bidang tugas dan peruntukan bidang kuasa masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here