PAS Perak menyifatkan kenyataan Umno yang menyamakan budaya sedekah yang telah lama dihidupkan parti itu dengan amalan rasuah sebagai kecelaruan yang membahayakan negara.
Pesuruhjayanya, Razman Zakaria menegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli PAS.
“Suka saya tegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli PAS.
“Mungkin mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah melihat setiap pemberian itu bermaksud kepentingan diri.
“Bagi PAS dan ahlinya setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji dalam Islam,” katanya dalam kenyataan.
Razman berkata, sebagai contoh, PAS Perak kini sedang menggerakkan usaha membangunkan kompleks sendiri di atas tanah seluas 10 ekar hasil infak dan derma yang digerakkan melalui kutipan di kawasan parti itu.
Menurutnya, semua aktiviti PAS yang dijalankan adalah hasil derma oleh ahli dan rakyat yang menyokong parti sehingga ia dikenali dengan nama ‘parti tin Milo’.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya sebagai sedekah kepada pengundi.
Ahmad Zahid dipetik berkata, sebagai ulama, pemimpin PAS seharusnya mempunyai integriti dan tidak boleh ‘menukar fatwa’ sesuka hati.
Sabtu lalu, Abdul Hadi dilaporkan menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanya sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas tindakan Umno Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15. – Malaysiapost

