PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui negeri Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak terpinggir daripada segi penerimaan peruntukan bajet daripada kerajaan persekutuan sebelum ini.
Menurutnya, keluhan pimpinan kerajaan negeri berhubung perkara itu akan mendapat perhatian sewajarnya meskipun terdapat kekangan dalam aspek pendapatan dan perbelanjaan kerajaan.
“Bajet itu dalam pertimbangan saya, walaupun ada kekangan dari segi pendapatan dan perbelanjaan kerana memang benar Pulau Pinang telah dipinggirkan dari segi peruntukan dan sama juga bila saya pergi ke Sabah serta Sarawak memang ada kekurangan besar.
“Peruntukan di Pulau Pinang membabitkan infrastruktur besar manakala Sabah dan Sarawak termasuk prasarana kecil iaitu klinik, hospital, perumahan rakyat, sekolah-sekolah daif itu yang harus kita beri tumpuan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program kenduri rakyat di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang, malam tadi.
Anwar menjawab persoalan sama ada Pulau Pinang akan menerima peruntukan lebih pada Bajet 2023 susulan pimpinan negeri mendakwa selalu dipinggirkan meskipun mereka antara penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan akan terus memberi tumpuan dalam memastikan pengeluaran bekalan makanan dalam negara mencukupi.
Menurutnya, ia meliputi usaha kerajaan memberi dukungan kepada pengeluaran dalaman membabitkan telur, ayam atau sayur-sayuran bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Saya pun mampu banding dalam tempoh sebulan setengah menteri-menteri berkenaan yang bekerja, kalau itu kita nak bandingkan saya boleh akui yang dilakukan sekarang ini lebih bersungguh-sungguh.
“Tidak apalah kita dengar pandangan dia,” katanya.
Anwar mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menangani isu berbangkit dengan memikirkan cara untuk menurunkan harga barangan.
Terdahulu Ismail Sabri dilaporkan menyentuh isu saranan pihak tertentu yang menggesa supaya memboikot peniaga kedai makan yang tidak menurunkan harga makanan dan berpandangan tindakan itu bakal menyusahkan golongan berkenaan. – Malaysiapost

