SELEPAS sekian lama berteka-teki soal cinta, pelakon Mimi Lana memberi bayangan dirinya sudah mengikat tali pertunangan dengan aktor, Syafiq Kyle
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram (IG), Mimi atau nama sebenar, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 28 berkongsi foto memaparkan jari yang hendak disarungkan cincin, iaitu simbolik kepada majlis pertunangan.
Foto itu diiringi ungkapan penuh kesyukuran sambil memberi bayangan hari bahagianya akan berlangsung tidak lama lagi.
“One step closer InsyaAllah, Alhamdulillah,” tulisnya ringkas.
Sementara itu, Syafiq turut memuat naik gambar Mimi Lana sudah menyarungkan cincin menerusi IG miliknya.
“Counting days. 1 2 3 action!,” tulisnya.
Sementara itu, meninjau ruangan komen, ramai rakan selebriti dan peminat aktres tinggi lampai itu berkongsi kegembiraan dengan mengucapkan tahniah kepada Mimi.
Rata-rata mereka mendoakan semoga impian pasangan ini untuk menuju ke gerbang perkahwinan, dipermudahkan.
Baru-baru ini, Syafiq memberitahu mereka sibuk membuat persiapan perkahwinan yang dijangka berlangsung, tahun ini.
Syafiq turut mengesahkan dia dan Mimi sudah menghadiri kursus kahwin, baru-baru ini. – Malaysiapost

