KERAJAAN perlu menjawab pendedahan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang membayangkan kemungkinan wujud kartel telur yang mengambil kesempatan terhadap isu berlaku.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais, berkata kartel berkenaan dikesan mengambil kesempatan di atas ketidakketentuan mata wang ringgit untuk mengeksport telur ke luar negara bagi mendapatkan untung lebih.
“Justeru, Kerajaan PH-BN perlu mendedahkan jumlah sebenar telur yang dieksport ke luar negara ketika ini dan jangan melindungi kartel-kartel ini hingga membebankan rakyat Malaysia.
“Tidak relevan untuk Menteri membuat rombongan hingga ke India sedangkan pengeluaran telur negara pada 2021 adalah sebanyak 13,955,240,660 biji.
“Adakah wujud kartel import pula di mana harga yang didapati di India lebih mahal. Kita menggesa kerajaan jelaskan kepada rakyat syarikat mana yang diberikan permit import (AP) oleh kerajaan PH-BN ini?,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, ketika ini rakyat sedang susah dengan kenaikan harga barang, dengan rata-rata golongan B40 bergantung kepada telur sebagai sumber makanan.
“Jangan dianggap isu telur perkara yang remeh dan melindungi kartel yang mengambil keuntungan di saat rakyat sedang susah,” katanya.
Semalam, Wan Saiful menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan jumlah sebenar eksport telur ayam berikutan bekalan domestik masih tidak pulih.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, penjelasan itu diperlukan kerana ramai yang hairan mengapa bekalan telur eksport tidak bermasalah sedangkan bagi permintaan domestik, ia sering mengalami gangguan.
Katanya, KPDN juga diminta menjelaskan jumlah keseluruhan pengeluaran telur bagi lima syarikat pengeluar telur terbesar tempatan supaya penilaian dapat dibuat. – Malaysiapost

