SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama barisan peguam parti itu akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam waktu terdekat.
Ahmad berkata, pertemuan itu bagi membuat penjelasan berhubung proses Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 dan pengundian dijalankan secara teratur dan mengikut peraturan serta perlembagaan parti.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, Peraturan 2.1 Persidangan Umno menetapkan jika ada berbangkit sebarang masalah ketika persidangan, maka Pengerusi Tetap berkuasa membuat keputusan dan keputusannya itu adalah muktamad, lapor Berita Harian.
“Pemberian kuasa kepada Pengerusi Tetap ini adalah bagi memastikan perjalanan PAU adalah teratur namun tidaklah terlalu mengikat perwakilan kerana matlamat perhimpunan agung membincangkan dan memutuskan isu-isu berkenaan dasar parti seperti mana diperuntukkan di bawah Fasal 8.3.1 Perlembagaan Umno,” katanya.
Beliau turut menyertakan kenyataan peguam Umno yang antara lain menjelaskan pencadang usul tambahan (wakil Umno Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin) mencadangkan pindaan dengan menambah usul kelapan menggunakan Peraturan Persidangan 20.3.3.
Kenyataan peguam Umno itu menyebut ketika tempoh perbahasan, diadakan forum untuk pembahas membahaskan persetujuan atau tidak terhadap pindaan tambahan itu bagi perwakilan untuk mempertimbangkan berkenaan usul-usul itu.
“Terpenting, pucuk pangkalnya, boleh dikatakan lebih daripada 90 peratus perwakilan bersetuju dengan pindaan tambahan itu dengan mengangkat tangan, menyatakan persetujuan malahan mereka berdiri.
“Pengundian ini dijalankan seperti mana Peraturan Persidangan 27.5 iaitu…. setelah tamat perbahasan dengan suara setuju atau tidak dengan mengangkat tangan dan keputusan itu hendaklah diumumkan oleh Pengerusi”,” katanya.
Peguam berkenaan juga menyatakan PAU mempunyai amalan demokrasi yang teratur.
“Sekiranya perwakilan tidak bersetuju dengan pindaan itu, perwakilan boleh bangun untuk menyatakan ketidaksetujuan.
“Namun begitu, ketika pengundian dijalankan ada beberapa puluh orang saja perwakilan yang angkat tangan/ bangun untuk menyatakan ketidaksetujuan.
“Maka, usul pindaan itu sudah pun menjadi ketetapan PAU dan ia telah menjadi suatu perintah atau dasar parti yang perlu dituruti oleh setiap ahli Umno,” katanya. – Malaysiapost

