Isham Jalil minta Hadi jangan cari dalil halalkan rasuah pengundi

0
2

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang diingatkan tidak mencari dalil untuk menghalalkan rasuah pengundi seperti didakwa dilakukan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menegaskan memberi duit kepada pengundi untuk membeli undi itu bukan sedekah, sebaliknya ia sogokon atau rasuah.

“Kepada Hadi, janganlah cari dalil untuk halalkan rasuah pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bahawa pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 yang lalu itu sedekah dan tidak melanggar peraturan.

Isham turut melahirkan kebimbangan ahli politik dan parti akan menggunakan alasan ‘sedekah’ untuk merasuah pengundi agar menang pilihan raya dan mengambil rasuah apabila memerintah.

“Ke manakah sistem politik dan demokrasi negara ini ingin dituju apabila parti dan ahli politik boleh sewenangnya merasuah pengundi atas nama ‘sedekah’ untuk menang pilihan raya?.

“Untuk beri ‘sedekah’ ini mereka ambil rasuah projek kerajaan dan ‘sedekah’ kepada pengundi untuk bentuk kerajaan serta mendapat jawatan. Ini adalah kitaran rasuah dan politik wang yang busuk dan teruk,” katanya.’

Beliau menegaskan, sedekah tidak ada timbal balasnya dan diberikan secara ikhlas kepada mereka yang memerlukan.

“Jika ada timbal balasnya, ia bukanlah sedekah, tetapi lebih kepada perniagaan, suapan, sogokan atau rasuah selain sedekah.

“Memberi duit kepada pengundi semasa pilihan raya dan menyuruh mereka bersumpah untuk mengundi PAS itu bukan sedekah, itu sogokan atau rasuah,” katanya.

Isham mengakui politik memerlukan wang namun jika sistem itu teruk, ia perlu diubah bukannya dijadikan lebih teruk seumpama politik wang ‘on steroid’.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pendanaan politik di negara ini ditambah baik supaya tidak kotor bagi membolehkan anak muda terlibat dalam politik tanpa perlu mengambil rasuah.

“Jika tidak, hanya orang-orang kaya atau perasuah sahajalah yang boleh berjaya dalam politik dan menentukan dasar-dasar untuk rakyat dan negara di Malaysia.

“Orang-orang yang ikhlas, baik dan tidak kaya raya tidak berpeluang melawan duit ‘sedekah’ perasuah-perasuah kaya untuk berjaya dalam politik di Malaysia.

“Ini tidak baik dan tidak sepatutnya. Kita perlu beri ruang kepada orang-orang baik untuk menentukan dasar untuk rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here