POLIS akan merakam keterangan anak Perdana Menteri, Nurul Ilham Anwar serta pemandu Proton Iriz yang dikatakan melakukan buli jalan raya terhadapnya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan, berkata kedua-duanya akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian itu.
“Hasil penelitian terhadap rakaman video dimuat Nurul Ilham Anwar semalam mendapati kejadian dikesan berlaku di Kilometer 307 Lebuhraya Utara Selatan ketika kereta dipandunya berada di lorong sebelah kanan lebuh raya.
“Kereta Proton Iriz dilihat dipandu dengan agak perlahan dan dikatakan menekan brek beberapa kali sehingga membuat Nurul Ilham berasa bahaya dengan cara pemanduan pemilik kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Anbalagan berkata, siasatan awal juga mendapati tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan dialami kedua-dua belah pihak.
“Siasatan lanjut juga masih dijalankan dan kedua-dua pemandu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Kes siasat mengikut Seksyen 6(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN) 166/1959 kerana kesalahan memotong dan menghalang daripada memotong,” katanya.
Terdahulu, Nurul Ilham menerusi satu perkongsian di Twitter semalam, mendakwa menjadi mangsa buli jalan raya ketika memandu bersama seorang anaknya yang berusia dua tahun.
Katanya, kejadian bermula ketika menghampiri sebuah plaza tol dan pemandu Proton Iriz itu membunyikan hon ke arahnya ketika beliau sudah memberikan isyarat ke kiri untuk masuk ke lorong Touch n Go.
Nurul Ilham turut memuat naik satu rakaman video kejadian itu di Twitter. Berdasarkan video berdurasi 14 saat itu, pemandu Proton Iriz berwarna hijau itu kelihatan beberapa kali menekan brek di lorong laju. – Malaysiapost

