VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad mengkritik bekas Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga berhubung dakwaannya bahawa siasatan ke atas bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas merupakan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.
Beliau turut menyifatkan Ambiga sebagai individu berfikiran sempit yang hanya bersuara berkaitan penyalahgunaan kuasa apabila berlaku ke atas rakan sendiri.
Menurut Shahrir, sikap yang ditunjukkan oleh Ambiga itu seolah-olah undang-undang adalah untuk kumpulan yang diwakilinya sahaja.
“Marah betul Ambiga apabila TS Tommy Thomas disoalsiasat oleh Bukit Aman.
“Thomas sendiri mengaku dalam bukunya dia seorang ‘political lawyer‘ sepanjang kerjayanya. Bukan seorang peguam yang mempertahankan ‘rule of law’ atau kedaulatan undang-undang.
“Ambiga pun begitu jugalah. Sama pemikiran sempit. Bila terkena kepada kawan sendiri, ia salah guna kuasa dan semestinya atas dorongan politik,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Shahrir, bekas Presiden Majlis Peguam itu melenting dan begitu marah apabila Tommy disoal siasat.
“Ia salah guna kuasa jerit Ambiga. Dan terus menyoal adakah ia kerana UMNO berada dalam Kerajaan Malaysia Madani (dulu dipanggil sebagai Kerajaan Perpaduan) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Pantang betul untuk Ambiga melihat Thomas disoal siasat oleh polis. Terus melenting menuduh berlakunya salah guna kuasa atas sebab politik,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Ambiga mempersoalkan sama ada terdapat motif politik di sebalik siasatan terhadap Tommy.
Terdahulu, polis melancarkan siasatan terhadap Tommy atas dakwaan kenyataan perkauman terhadap kerajaan dalam forum bertajuk ‘Dark Forces Towards GE15’ pada 17 September lalu. – Malaysiapost

