KADAR Dasar Semalaman (OPR) tidak jadi dinaikkan sekali gus kekal pada paras 2.75 peratus.
Perkara itu diumumkan Bank Negara Malaysia menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini yang berkata, jajaran kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dikekalkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.
Keputusan MPC mengekalkan penanda aras pinjaman itu adalah luar jangkaan susulan sebahagian besar penganalisis meramalkan kenaikan ke paras sebelum pandemik iaitu kenaikan 0.25 peratus lagi.
Sebelum ini, kadar OPR mengalami empat kenaikan secara berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
BNM dalam satu kenyataan berkata, risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global berikutan dasar monetari yang semakin ketat secara lebih agresif di ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing serta gangguan ketara pada rantaian bekalan yang kembali wujud.
“Inflasi keseluruhan pada tempoh bulan Januari hingga November 2022 berpurata sebanyak 3.4 peratus. Seperti yang diunjurkan, inflasi keseluruhan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga tahun 2022, manakala purata inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, adalah sebanyak 2.9 peratus hingga bulan November 2022.
“Bagi keseluruhan tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka sederhana namun kekal pada tahap yang tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos yang berlarutan,” katanya.
BNM turut menjelaskan, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan COVID-19 di China.
Jelasnya, kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.
“Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Bagaimanapun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.
“Bagi menguruskan tekanan inflasi, bank-bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah, meskipun pada kadar yang lebih perlahan. Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan.
“Namun begitu, pertumbuhan di China dijangka bertambah baik apabila gelombang semasa COVID-19 di negara itu reda,” katanya. -Malaysiapost

