Penolong jurutera MBK ‘makan suap’ didakwa

0
1

SEORANG penolong jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini kerana menerima suapan RM2,000 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Yusrizal Md Ledza, 40, didakwa dengan dua pertuduhan menerima suapan pada 7 dan 23 Mac tahun lalu daripada seorang wanita berusia 33 tahun.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan itu selesai dibacakan di hadapan hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Yusrizal sebagai penolong jurutera MBK didakwa menerima suapan RM1,000 daripada wanita terbabit melalui pemindahan secara atas talian ke akaun miliknya, sedangkan tertuduh menyedari bahawa wanita terbabit mempunyai hubungan dengan tugasan rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Temerloh pada 7 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Yusrizal didakwa menerima suapan RM1,000 daripada wanita sama di tempat sama pada 23 Mac tahun lalu.

Dia didakwa  mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwaan Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raf’ah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM 10,000  dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan perlu menyara keluarga dan mempunyai komitmen tinggi selain hanya seorang bekerja.

Ahmad Zamzani membenarkan Mohd Yusrizal diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Temerloh sebulan sekali, bermula Februari sehinga kes selesai selain menyerahkan passport antarabangsa (jika ada) kepada mahkamah.

Kes disebut semula 13 Februari depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here