TKM Sabah terima petisyen cabar keputusan PRU15 Parlimen Putatan

0
1

TIMBALAN Ketua Menteri (TKM) Sabah, Datuk Shahelmey Yahya sudah menerima petisyen yang difailkan terhadapnya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Putatan.

Ahli Parlimen Putatan itu bagaimanapun telah menjangkakan bahawa petisyen itu akan difailkan terhadapnya berikutan jumlah majoriti tipis yang diperoleh ketika memenangi kerusi Parlimen berkenaan.

“Itu kita sudah jangkakan apabila sesuatu keputusan dengan jumlah majoriti yang begitu kecil memang selalunya akan timbul petisyen pilihan raya.

“Saya sudah menerimanya pada minggu lepas dan telah mengarahkan pasukan peguam saya untuk membuat tindakan yang selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai petisyen yang difailkan terhadapnya oleh bekas Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari bagi mencabar keputusan PRU15 di Parlimen Putatan.

Ditanya adakah beliau tergugat dengan tindakan itu, Shahelmey berkata, beliau bersedia untuk berhadapan dengan situasi berkenaan.

“Saya tidak tergugat, saya terima kenyataan apabila ada majoriti tipis sudah tentu ada petisyen,” katanya.

Terdahulu, Awang Husaini yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Putatan mengesahkan telah memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan di parlimen tersebut.

Awang Husaini yang kalah tipis pada PRU15 lalu berkata, petisyen itu difailkan melalui peguamnya Nelson Anggang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 27 Disember lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here