RCI buku Tommy Thomas bukan nak balas dendam, cari kesalahan – Azalina

0
1
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) terhadap memoir Tan Sri Tommy Thomas bukan untuk mencari kesalahan atau melancarkan pembalasan dendam politik terhadap bekas Peguam Negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan penubuhan suruhanjaya itu bukan bertujuan untuk menghukum atau menyalahkan sesiapa.

“Ini bukan suruhanjaya diraja untuk menyalahkan, menghukum atau memenjarakan. Saya telah menyebut dalam kenyataan saya bahawa tiada siapa yang mencari kesalahan sesiapa.

“Macam mana nak balas dendam kalau awak tak tahu (apa perkara yang) hendak dibalas dendam itu?,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Azalina berkata RCI merupakan saluran yang lebih baik untuk melihat buku Tommy berbanding pasukan petugas khas.

“Jadi, bagi saya, saya secara peribadi berpendapat bahawa RCI adalah lebih baik daripada pasukan petugas, dan idea keseluruhannya adalah untuk melihat gambaran yang lebih luas.

“RCI adalah struktur yang lebih baik kerana anda memberi sikap bersangka baik terhadap pihak berkenaan dan membenarkan mereka membela diri,” katanya.

“RCI mungkin mengeluarkan cadangan pembaharuan institusi, termasuk pemisahan peguam negara dan pendakwa raya. Biar RCI berdiri dengan sendiri dan mengemukakan terma rujukan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi meneliti secara menyeluruh Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan Dalam Buku tulisan Tommy bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Media sebelum ini melaporkan, syor terhadap dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang kini didedahkan kepada awam apabila Jemaah Menteri terdahulu menyahklasifikasikan hasil siasatan itu pada 13 Oktober lalu.

Pasukan Petugas Khas berkenaan juga mengesyorkan Tommy disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here