BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa segera memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion ketika pentadbirannya.
Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil percaya agensi penguatkuasaan itu menunggu Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, pada masa sama rakyat juga kini sedang menunggu penjelasan sebenar dakwaan itu berikutan banyak laporan polis dan SPRM dibuat berkaitan dakwaan berkenaan.
“Alang-alang sudah balik ke Malaysia setelah berminggu-minggu di London, bila mahu berjumpa SPRM pula? SPRM tentunya ingin berjumpa Tan Sri (Muhyiddin) untuk ambil keterangan berkenaan kes RM92.5 billion dana kerajaan semasa darurat.
“Rakyat juga mahu tahu kes PN rasuah pengundi, kes projek rundingan terus RM1.16 billion kepada syarikat menantu, dan juga bantu jawab kes rundingan terus projek tebatan banjir RM15 billion.
“Sila jawab hal ini kepada rakyat. Jangan lari ke luar negeri lagi. Sesiapa pun tidak boleh terlepas dari pengadilan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Isham juga berpandangan layanan diterima Muhyiddin berbeza berbanding Datuk Seri Najib Razak ketika berdepan tuduhan kes membabitkan nilai RM2.6 bilion.
“Jika dahulu, Najib tidak dibenar ke luar negeri, pasportnya dirampas, rumahnya digeledah dan rumah arwah bondanya dipecah oleh kerana kes RM2.6 billion.
“Kali ini kes RM92.5 billion berkaitan Tan Sri (Muhyiddin) ini adalah berpuluh kali ganda lebih besar, takkan Tan Sri tidak mahu jawab hal ini dan bersenang lenang bercuti ke luar negeri dan berjumpa delegasi-delegasi asing sahaja?” katanya.
Semalam tular gambar memaparkan Muhyiddin dengan kapsyen yang berbunyi: “Pulanglah Abah, Muhyiddin sudah terlalu lama di London. Baliklah ke Malaysia dan jelaskan RM92.5 billion”.
Keberadaan Presiden Bersatu di luar negara itu dipersoalkan netizen selepas timbul isu dakwaan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion ketika pentadbirannya.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan ke London yang didakwa untuk bertemu dengan beberapa pemimpin Umno bagi ‘Langkah London’ yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

