MOF perlu lakukan anjakan untuk selamatkan negara – Anwar Ibrahim

0
2
Anwar Ibrahim

WARGA Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) digesa untuk melakukan anjakan dan perubahan dalam kelemahan sistem lama untuk menyelamatkan negara bukan sahaja dari segi kewangan dan ekonomi tetapi dari segi sudut pertanggungjawaban dan kepentingan awam.

Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, warga kementeriannya perlu meninggalkan budaya rasa selesa dan gunakan kekuatan atau pengalaman yang ada serta rekod penjawat awam terdahulu yang cemerlang untuk meningkatkan lagi perkhidmatan.

Beliau yang juga Perdana Menteri, berkata pengalamannya di MOF dahulu banyak membantu dan mendewasakan kerana keupayaan kecekapan dan integriti kementerian itu menjadi satu petanda keupayaan negara membuat sedikit anjakan.

“Jika MOF ada keupayaan melakukan anjakan saya yakin kita boleh bawa perubahan. Saya pertahankan penjawat awam kerana anda bekerja dalam satu sistem dimana anda harus patuh pada arahan.

“Jadi ada dilema di situ, siapa sahaja yang mengetuai, siapa sahaja Perdana Menteri beri arahan sukar untuk penjawat awam menolak. Sebab itu semalam saya beri arahan, kalau nyata beberapa arahan itu melanggar prinsip dan peraturan maka harus ada nasihat.

“Saranan ini walaupun tidak mudah, tetapi perlu ada budaya baru ini. Hanya ini sahaja yang boleh membetulkan apa yang kita sudah biasa dan serasi dahulu,” katanya di Majlis Perhimpunan dan Amanat Tahun Baharu 2023 MOF di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, terdapat pihak yang mengatakan pentadbirannya kini sibuk mencari kesalahan-kesalahan yang lalu dan sepatutnya menumpukan kepada kerja.

“Tetapi kalau kita tak betulkan kepincangan yang lama, tidak mungkin kita dapat mengangkat maksud integriti dan menyelamatkan dana bukan satu atau dua billion.

“Kalau saya teliti semula ia berbilion ringgit yang sama bocor, dicuri atau ada perompakan yang berlaku,” katanya.

Anwar percaya, warga MOF adalah antara penjawat awam yang paling pintar, cekap dan mempunyai integriti, maka perlunya melakukan anjakan.

“Dalam pentadbiran saya..saya ingin mengajak untuk punyai iltizam membetulkan kesilapan yang lalu, pertahankan yang baik dan mengangkat martabat

“Dalam proses itu tentulah perlu dibongkar beberapa keterlanjuran yang sebahagian besarnya tidak melibatkan penjawat awam. Tetapi ia harus dilakukan supaya tidak mengulanginya,” katanya.

Belia memberi contoh tindakan yang diambil berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan percaya ia tidak mungkin berlaku sekiranya mempunyai sistem yang kukuh.

“Jadi pengajarannya harus ada. Namun sebenarnya hukuman dan tindakan dulu tidak akan mengajar pimpinan sekarang.

“Kerana kalau kita teliti semula keputusan-keputusan yang dibuat oleh pentadbiran selepas itu, gejala memunggah kekayaan untuk memperkayakan diri dan keluarga itu terang-terang berlaku. Saya sendiri terkejut dengan keterlanjuran-keterlanjuran ini.

“Jadi saya nak gesa di MOF, lakukanlah anjakan yang bermakna untuk menyelamatkan negara bukan sahaja dari segi kewangan dan ekonomi terapi dari segi sudut pertanggungjawaban dan kepentingan awam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here