EMPAT Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang keluar parti Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan mereka sudah menerima salinan surat balasan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berhubung perkara itu.
“Saya tak boleh dedahkan kandungan emel itu, apa yang saya boleh katakan adalah tiada keperluan untuk kami kosongkan kerusi,” katanya seperti dipetik The Star.
Armizan, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang), dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) adalah ahli Bersatu sebelum PRU-15 diadakan.
Bagaimanapun, pada PRU1-5 yang lalu mereka bertanding atas tiket GRS.
Pada 10 Disember lalu, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilapor berkata pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini terutama di Sabah dan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tindakan itu menimbulkan persoalan berhubung kemungkinan empat Ahli Parlimen itu telah melanggar undang-undang lompat parti yang dikuat kuasa sejak Oktober lalu.
Susulan itu, Ronald menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat berkenaan.
Menurutnya, notis berkenaan adalah selaras Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan, melibatkan empat ahlinya yang telah bertanding dalam PRU-15 sebagai ahli Bersatu dengan menggunakan logo parti GRS. – Malaysiapost

