Tahun Baru Cina: PLUS nasihat pengguna keluar sebelum 9 pagi

0
1
lebuhraya jam kereta jalanraya highway pkp

PENGGUNA Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari Lembah Klang menghala ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan mula memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi pada Tahun Baru Cina ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata cadangan tersebut adalah berdasarkan analisa PLUS tentang data corak perjalanan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan pada musim-musim perayaan yang lalu.

“Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) pada kali ini berperanan untuk mengelakkan kenderaan ke pelbagai destinasi bertemu di lokasi-lokasi ‘hot spot’ tertentu di lebuh raya dan terperangkap di dalam kesesakan.

“Berdasarkan TTA tersebut, pengguna yang menghala ke destinasi-destinasi lain yang lebih hampir dengan Lembah Klang juga dinasihatkan mula memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan di antara 12 tengah hari hingga jam 4 petang.

“Namun, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, TTA merupakan salah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan oleh PLUS pada musim perayaan bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa.

Sementara itu, Zakaria turut menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan.

Katanya, saranan ini bukan sahaja untuk perjalanan pengguna untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti Tahun Baharu Cina, tetapi juga bagi perjalanan mereka pulang ke Lembah Klang selepas bercuti.

“Pengguna RFID pula dinasihatkan supaya memastikan baki e-Wallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya.

“Pastikan anda masuk dan keluar dari plaza tol menggunakan mod pembayaran yang sama, iaitu jika masuk dari plaza tol menggunakan lorong RFID, anda juga mestilah keluar menggunakan lorong RFID,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here