PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 khusus untuk golongan B40 akan dibayar secara berperingkat mulai esok.
Anwar berkata, sumbangan tunai bernilai RM1.67 bilion diawalkan kepada bulan ini berbanding perancangan awal iaitu pada Mac 2023, bertujuan meringankan beban sara hidup rakyat.
“Pembayaran STR Fasa 1 kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR secara berperingkat mulai 17 Januari 2023.
“Penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai esok.
“Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 17 Januari 2023 dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan menekankan pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas.
Katanya, selaras dengan itu, Kerajaan telah memperkenalkan konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada initiatif-initiatif membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
“Maka, program bantuan tunai untuk B40 di bawah Kementerian Kewangan dijenamakan semula kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan akan terus ditambah baik,” katanya. – Malaysiapost

