PEMBUNUHAN demokrasi dalam Umno memberi gambaran buruk pada rakyat bahawa parti itu tidak lagi relevan untuk disertai orang muda.
Aktivis Pemuda Umno, Syed Mohd Syed Nasir, berkata keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi Umno atas alasan takut perpecahan, akan menjadi penyebab golongan muda menolak parti itu.
“Ketakutan dua pimpinan atasan Umno, menggunakan alasan takut kepada perpecahan berlaku adalah demi mengekalkan tindakan mereka sebagai pimpinan tertinggi kerajaan.
“Tindakan mereka ini memberi impak yang kuat kepada golongan muda untuk tidak lagi menjadikan Umno atau Barisan Nasional sebagai parti pilihan atau erti kata lain parti yang popular mendominasi jiwa rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) meluluskan dengan suara majoriti usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan.
Ini bermakna, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan akan memegang jawatan itu untuk tempoh tiga tahun lagi.
Sementara itu, Syed Mohd berkata, segelintir Ketua Umno Bahagian atau wakil rakyat BN dilihat takut untuk menyatakan kebenaran kerana mereka bimbang dikenakan tindakan termasuk dipecat.
“Jika mereka menentang maka nasib mereka sama seperti Tan Sri Annuar Musa, mereka dipecat,” katanya.
Justeru, beliau percaya Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti, akan menentukan sama ada Ahmad Zahid dan Mohamad diterima atau ditolak rakyat dan ahli Umno akar umbi.
“PRNakan datang ini adalah medan utama suara rakyat serta suara akar umbi yang dinafikan Presiden dan Timbalan Presiden Umno ini dihakimi, sama ada rakyat menolak atau menerima mereka.
“Hentikan kegilaan ini, kembalikan Umno kepada Umno yang asal, rakyat hakimi mereka kerana tamakkan kuasa,” katanya. – Malaysiapost

