Zahid ‘beban’ kepada Umno, PH – Ramasamy

0
1

KEPUTUSAN mengekalkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno dilihat menjadi ‘beban’ kepada parti itu dan Pakatan Harapan (PH), kata Dr P Ramasamy.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu, keputusan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hanya memberi kelegaan sementara kepada Ahmad Zahid, namun ia seolah-olah menjadi duri dalam daging dalam gabungan itu.

“Keputusan terkini PAU untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno mungkin mendapat sokongan sebulat suara, namun ada juga suara yang mahukan ia dipertandingkan.

“Ahmad Zahid mungkin dilihat terselamat buat sementara waktu, namun beliau kelihatan sebagai ‘Albatross’ (masalah berterusan yang menjadi penghalang) yang melingkari Umno, PH serta Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata, usaha Umno untuk berubah juga akan melalui jalan sukar selagi imej korupsi yang melingkarinya tidak dibersihkan.

Katanya, malangnya, Ahmad Zahid selaku Presiden parti sendiri dilihat sebagai pemimpin paling terkesan dengan imej itu dalam Umno.

Beliau berkata, perkara itu mungkin mendatangkan kesan kepada usaha parti serta Kerajaan Perpaduan untuk menarik sokongan khususnya pengundi Melayu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Dengan dua kedudukan tertinggi dalam Umno tidak dipertandingkan, krisis politik yang dijangka mungkin boleh dielak buat sementara waktu.

“Sakit kepala Datuk Seri Anwar Ibrahim sementara waktu ini hilang. Namun cabaran sebenar buat PH dan Umno adalah untuk menarik sokongan Melayu dalam PRN akan datang,” katanya.

Enam negeri yang ditadbir PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan negeri pimpinan PAS, Kedah, Kelantan dan Terengganu, akan mengadakan pilihan raya negeri tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here