TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Seri Ramesh Rao Krishnan Naidu yang meninggal dunia, pagi tadi.
Ahmad Zahid dalam kenyataan, berharap ahli keluarga, kenalan serta rakan taulan mendiang tetap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan kehilangan insan yang mereka sayangi.
“Saya amat menghargai khidmat bakti dan jasa mendiang kepada masyarakat dan negara sebelum dan semasa beliau berkhidmat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Ahmad Zahid menerusi hantaran Facebook mengakui terkejut dengan pemergian Ramesh Rao berikutan berkesempatan menyantuni peniaga makanan di Pusat Perdagangan Dunia (WTC), semalam.
“Semalam saya sempat bersama mendiang Ramesh Rao semasa menyantuni peniaga ‘food truck’ di WTC. Pemergian yang mengejutkan.
“Semoga keluarga beliau akan tabah menghadapi kehilangan insan tersayang ini,” tulisnya dalam hantaran itu.

Ramesh Rao yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia meninggal dunia, awal pagi tadi akibat serangan jantung.
Mendiang sebelum ini dilantik Ahmad Zahid bagi diberi tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat kaum India di seluruh negara tanpa mengira fahaman politik masing-masing.
Mendiang dilantik sebagai Pegawai Khas Ahmad Zahid pada 24 Disember lalu.
Sebelum menyertai Barisan Nasional (BN), mendiang pernah bergiat dalam politik bersama DAP.
Mendiang amat dikenali kerana aktif memperjuang kebajikan masyarakat di negara ini terutamanya kaum India. – Malaysiapost

