AHLI dan pemimpin Umno yang mahu mendapatkan kepastian berhubung status usul tambahan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ROS yang boleh menentukan sama ada usul yang diluluskan itu memenuhi tuntutan Perlembagaan atau sebaliknya.
“Dari segi perundangan, ada beberapa pandangan yang berbeza, ada yang kata okay kerana diputuskan waktu Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) kerana ia merupakan tempat tertinggi di dalam parti dari untuk membuat sebarang keputusan ini kerana pandangan itu dibenarkan pengerusi.
“Ada juga pandangan yang berbeza yang mengatakan dari segi PAU ini, walaupun ianya merupakan satu tempat yang tertinggi di dalam parti, boleh membuat sebarang keputusan, tetapi ianya mesti tertakluk kepada Perlembagaan parti,” katanya dalam sidang media selepas PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya sama ada beliau akan membawa perkara itu kepada ROS ataupun menghantar notis bantahan, Ismail Sabri berkata beliau tidak bercadang berbuat demikian.
“Tidak…Saya hanya sebut ada dua pandangan yang berbeza…Sesiapa saja, ahli parti boleh, yang ada kepentingan dalam parti, sesiapa pun untuk mendapat pandangan daripada ROS,” katanya lagi.
Jelasnya, Perlembagaan parti Fasal 8.1 Perlembagaan Umno mengatakan bahawa PAU merupakan kuasa tertinggi dalam parti dalam menentukan perjalanan parti, tetapi tertakluk kepada Perlembagaan.
“Dalam Perlembagaan dari segi memilih jawatan, ia hendaklah dibuat secara pemilihan tiga tahun sekali atau pun penangguhan seterusnya yang dilaksana di peringkat bahagian.
“Itu dalam Perlembagaan (yang mana) apabila disebut pemilihan hendaklah dipilih. (Maknanya) jawatan seperti pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) hendaklah dipilih (ada pemilihan) tiga tahun sekali atau (dibuat) penangguhan di peringkat bahagian,” katanya.
Perwakilan Umno hari ini meluluskan usul agar tiada pertandingan dijalankan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu kali ini. – Malaysiapost

