Hanya Umno berwajah baharu mampu tarik golongan muda – Ismail Sabri

0
2

HANYA Umno yang berwajah baharu dengan tawaran menarik mampu menarik golongan muda menyokong parti itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden Umno itu menegaskan masa depan Umno bergantung kepada sokongan golongan muda.

“Hari ini saya mengadakan perjumpaan khas bersama-sama Umno Siswa dan Kelab Umno Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

“Masa depan Umno bergantung kepada sokongan golongan muda… tanpa sokongan mereka, gelaplah masa depan Umno.

“Hanya Umno berwajah baharu berserta tawaran baharu mampu menarik golongan muda menyokong Umno,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Terdahulu, PAU 2022 meluluskan lapan usul termasuk satu usul tambahan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno yang masing-masing disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Semua usul itu diluluskan selepas majoriti perwakilan bangun dan mengangkat tangan bagi menyokong usul berkenaan dalam sesi undian yang dikendalikan Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Pada sidang media di WTC, Ismail Sabri bimbang dengan kelulusan usul tambahan itu yang dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

Beliau juga berpandangan usul itu bertentangan dengan Perlembagaan Umno, yang menetapkan semua jawatan dalam parti itu hendaklah dipilih setiap tiga tahun sekali. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here