KERAJAAN Pulau Pinang mengisytiharkan kejadian penyakit demam babi Afrika atau ‘African Swine Fever’ (ASF) sebagai bencana di negeri berkenaan.
Pengisytiharan itu setelah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Pulau Pinang mengesahkan sehingga hari ini, penyakit ASF telah menjangkiti tujuh ladang babi komersial iaitu lima di Seberang Perai Selatan dan dua di Seberang Perai Tengah.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan pengesahan penyakit itu dibuat melalui ujian yang dijalankan pada 4 hingga 12 Januari lalu ke atas sampel babi dari ladang-ladang tersebut.
“Bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, DVS Pulau Pinang telah menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF.
“Pemusnahan dijalankan menggunakan kaedah gas CO2 (High Concentration) mengikut garispanduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan – Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut memaklumkan sehingga 13 Januari 2023, sebanyak 929 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang berkenaan di daerah Seberang Perai Selatan.
Menurutnya, pemusnahan akan diteruskan pada hari ini di ladang kedua setelah terdapat banyak kematian babi di ladang terbabit dan dijangka memakan masa lebih kurang seminggu untuk diselesaikan.
“Aktiviti pemusnahan ini tidak dapat dimulakan dengan lebih awal akibat kekangan kawasan untuk dijadikan tapak pelupusan babi.
“Bagi mengesan jangkitan dan perebakan penyakit ASF di Kawasan berhampiran, aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan bagi kesemua ladang ternakan babi dalam radius lima kilometer (km) dari ladang yang terlibat terus aktif dijalankan.
“Aktiviti pemantauan dan pemeriksaan karkas juga giat dijalankan di semua rumah sembelih babi berlesen di Pulau Pinang,” katanya.
Menurutnya, sekatan jalan raya (SJR) juga telah mula dijalankan di jalan-jalan masuk ke Kawasan Perkampungan Valdor bermula 10 Januari lalu bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk babi hidup serta karkas babi dari kawasan jangkitan.
Jabatan itu memaklumkan, sejak wabak ASF yang pertama kali disahkan berlaku di negara Kenya, Afrika pada tahun 1921 dan sehingga kini, belum ada vaksin ASF yang diiktiraf bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit ASF.
“Sehingga kini, kaedah pencegahan penyakit ASF yang berkesan dan disarankan adalah melalui amalan biosekuriti ladang yang baik, tidak membenarkan lori pengangkut babi dan lori makanan ternakan masuk ke dalam ladang, ladang mempunyai pagar perimeter bagi mencegah kemasukan babi hutan atau haiwan liar ke dalam ladang dan lain-lain lagi.
“Penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung, atau babi komersial kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) terdekat atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri.
“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya di talian 03-8870 2041 atau hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, DVS Pulau Pinang di talian 04-5041047,” katanya.-Malaysiapost
Kredit foto: Agenda Daily

