PN selesai agih kerusi PRN

0
2

PROSES agihan kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembahagian kerusi berkenaan dilakukan atas dasar perbincangan ‘adik-beradik’.

“Pembahagian kerusi dah selesai semua, cuma mungkin boleh ditukar-tukar atau macam mana nanti terpulang kepada Majlis Tertinggi untuk menentukan.

“Jadi, tidak timbul isu ikhlas atau tak ikhlas,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Bantuan Banjir PN kepada 8,000 mangsa di Chabang Empat, Wakaf Bharu, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, PN mengutamakan calon yang terbaik untuk diletakkan di satu-satu kerusi.

“Kalau yang baik daripada PAS maka calon PAS itulah yang akan diletakkan manakala kalau baik Bersatu, kita letak calon Bersatu di kerusi itu,” katanya.

Beliau turut yakin pengundi akan memberikan sokongan kepada PN pada PRN kali ini berdasarkan prestasi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Enam negeri yang belum mengadakan PRN adalah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Hamzah menyifatkan kenyataan dibuat oleh seorang pemimpin Umno yang mengatakan DAP lebih baik daripada PAS sebagai perkara yang karut.

“Kalau macam tu, dunia ini dah tak betul. Orang yang sama jumpa dengan saya selepas PRU15 lalu mengaku akan menentang sebarang kerjasama dengan DAP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here