KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan, hari ini yang mengekalkan status Islam seorang wanita membuktikan pengukuhan pengiktirafan terhadap kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan di Malaysia yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya menzahirkan kesyukuran dan menyambut baik keputusan berkenaan.
“MAIS menasihatkan masyarakat agar tidak menyalahgunakan proses mahkamah dan sentiasa menghormati kedudukan Mahkamah Syariah sebagai suatu institusi keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan MAIS dan kerajaan negeri di Mahkamah Rayuan Putrajaya berhubung perkara berkenaan.
“Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 20 Julai 2017 yang memuktamadkan status agama Islam responden, seorang wanita yang didaftarkan sebagai mualaf pada 1991, adalah suatu keputusan yang mengikat responden.
“Dalam kes ini, ibu responden mendaftarkan pengislaman responden semasa dia masih kecil, dan suatu perakuan memeluk Islam dikeluarkan atas nama responden pada 17 Mei 1991.
“Kemudian, responden memfailkan permohonan pengisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang Islam di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur),” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur telah pun menolak permohonan responden dan mengisytiharkan responden sebagai seorang yang menganut agama Islam pada 2017, namun responden merayu keputusan itu.
“Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) pada tahun 2021 telah menolak rayuan responden dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
“Dalam keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, antara lain, mahkamah bersetuju bahawa cabaran terhadap keputusan Mahkamah Syariah itu ke Mahkamah Tinggi Sivil adalah bersifat ‘res judicata’ dan satu penyalahgunaan proses mahkamah oleh responden.
“Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam tidak boleh mengubah atau mengakas keputusan yang diputuskan secara sah oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perkara ini bercanggah dengan Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan itu, responden adalah kekal sebagai seorang Islam.
Menurutnya, panel hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali secara majoriti bersetuju dengan rayuan pihak perayu, manakala Datuk P Ravinthran berbeza keputusan.
“Dalam kes ini, MAIS diwakili Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda, manakala kerajaan negeri diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib dan Husna Abd Halim daripada Kamar Penasihat Undang-undang Negeri Selangor,” katanya. – Malaysiapost

