Dasar 5G dibentang dalam masa terdekat

0
1

DASAR pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum penghujung suku pertama tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkaitan berhubung dasar itu, termasuk DNB, syarikat telekomunikasi serta Kementerian Kewangan (MoF) dan sehingga kini, belum ada sebarang perkembangan.

“Pada waktu ini, DNB adalah satu syarikat tujuan khas (SPV) di bawah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tapi pada masa sama, perbincangan mengenai hala tuju itu saya lihat masih perlu sedikit masa.

“Kita sudah dapat maklum balas daripada semua pihak dan pada waktu ini, KKD dan MOF sedang meneliti apakah ‘option’ (pilihan) dan kesan jika kita ambil sebarang `option’ itu.

“Saya jangkakan sebelum kita sampai ke penghujung suku pertama 2023, kita akan dapat bentangkan kepada Jemaah Menteri. Dari situ, saya percaya kerajaan akan umumkan dasar berhubung pelaksanaan rangkaian 5G,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi perjumpaan dengan warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed, memaklumkan pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara sudah mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir 2022, sekaligus melepasi sasaran awal 40 peratus.

Fahmi berkata, bagi mengatasi masalah rangkaian Internet di beberapa kawasan yang terjejas pula, pihaknya dalam proses perbincangan untuk menubuhkan satu pusat kawalan komunikasi bagi mengatasi masalah terbabit.

“Dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu lalu, baginda ada sampaikan titah mengenai masalah Internet yang dihadapi komuniti di Kuala Boh, Cameron Highlands, Pahang.

“Kita lihat banyak masalah seperti itu dan saya sudah minta timbalan saya, Teo Nie Ching, untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mewujudkan satu pusat kawalan komunikasi dan mengenal pasti lebih awal kawasan yang menghadapi masalah akses rangkaian Internet.

“Kalau ada satu pusat yang boleh kenal pasti, kita mohon syarikat telekomunikasi segera selesaikan masalah itu. Bila sudah timbul (isu) dalam media, ia sudah kritikal, oleh itu perlu selesai lebih awal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here