Jurulatih tampar pemain dilucut lesen

0
1

JURULATIH bola tampar yang terbabit dalam insiden menampar dua pemainnya semasa Kejohanan Bola Tampar Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang tular di media sosial baru-baru ini tidak lagi boleh menjadi jurulatih sukan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, perkara itu diputuskan secara sebulat suara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) selepas siasatan penuh dijalankan.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian khusus terhadap insiden berkenaan.

“KBS dan KPM berpendirian senada selepas Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) membatalkan lesen jurulatih itu melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplinnya.

“Justeru sebagai langkah awal, jurulatih sukan tersebut yang juga seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk menjadi jurulatih untuk murid sekolah,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Putrajaya, hari ini.

Hannah berkata, beliau bersama Fadhlina menegaskan bahawa kedua-dua kementerian itu tidak akan sesekali berkompromi khususnya dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet-atlet khususnya golongan muda.

Katanya, insiden sedemikian mampu memudaratkan pembangunan bakat masa depan negara, apatah lagi insiden yang membabitkan murid-murid sekolah.

“MSN dan MAVA, kedua-duanya telah memuktamadkan siasatan mereka, yang mana secara sebulat suara memutuskan bahawa jurulatih bola tampar itu sepatutnya hilang kelayakannya daripada menjadi seorang jurulatih.

“Insiden itu telah membuka mata bahawa terdapat keperluan untuk mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah, untuk menjadi sebahagian daripada SLKK dan SPKK.

“Justeru KPM akan bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara bagi melengkapkan jurulatih kepada pelajar sekolah dengan pensijilan yang diperlukan. Ini adalah penting untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat, saling hormat-menghormati serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan dan penderaan.

“KBS sendiri telah mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), Institut Sukan Negara memastikan pelaksanaan peraturan yang mewajibkan setiap jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan setiap dua tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata, ia juga akan diperketatkan lagi bagi memastikan jurulatih-jurulatih sukan negara sentiasa dipantau perkembangan dan keaktifan karier kejurulatihan mereka itu.

Menurutnya, penguatkuasaan peraturan itu membolehkan pihak AKK dan pemegang taruh lain mengemas kini data selain turut dapat membantu jurulatih-jurulatih meningkatkan lagi kemahiran dengan pendekatan kejurulatihan dan teknologi terkini.

Sementara itu, Fadhlina berkata siasatan oleh KPM berkaitan insiden berkenaan telah pun selesai dijalankan secara menyeluruh membabitkan semua pihak yang terbabit.

“KPM juga telah meneliti secara terperinci hasil laporan siasatan tersebut daripada pelbagai sudut, khususnya yang melibatkan etika serta imej profesion perguruan.

“Guru yang juga merupakan penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Beliau berkata, KPM amat prihatin serta cakna akan aspek keselamatan dan kebajikan murid semasa di sekolah mahu pun ketika mengikuti aktiviti kokurikulum di luar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here