ISU jawatan Presiden dan Timbalan Presiden bagi pemilihan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, bukan langkah menyekat demokrasi dalam Umno, kata Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Ia selepas bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin hari ini mendakwa keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan utama itu akan menyekat demokrasi dalam Umno.
Jamal yang merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, beliau mempunyai pendapat yang berbeza dengan kenyataan bekas Menteri Kesihatan itu.
“Saya tidak melihat isu jawatan utama sebagai langkah menyekat demokrasi di dalam Umno. Bagaimana KJ boleh boleh menganggap begitu? Adakah ianya adalah untuk kepentingan parti atau peribadi?
“Adakah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sahaja menjadi penyebab matinya demokrasi dalam Umno?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata menyambut baik cadangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan supaya dua jawatan tertinggi dalam Umno itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Katanya, keputusan tersebut boleh menjadi benteng daripada keretakkan di kalangan ahli Umno.
Terdahulu, Khairy dalam hantaran Insta Story menyifatkan sokongan kepada keputusan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 adalah satu ‘kegilaan’.
Khairy berkata, cadangan seperti itu tidak perlu kerana beliau percaya Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu gentar dengan pencabarnya.
“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang fighter (pejuang) yang tidak gentar menghadapi pencabar. Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam Umno,” katanya.
Sebelum itu, Timbalan Presiden Umno dilaporkan berpandangan adalah lebih baik jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan bagi mengelak perpecahan lebih buruk dalam Umno. – Malaysiapost

