‘Ada gunting dalam lipatan, berkempen cara kutuk parti dan Presiden’ – Asyraf Wajdi

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan ada calon daripada parti itu memilih menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga mengakibatkan Umno jatuh tersungkur.

Beliau berkata, calon tersebut menjaja agar mengundinya bagi memulihkan kembali Umno yang sudah rosak.

“Sesetengah calon kita juga memilih untuk menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti. Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan Umno yang sesat, rosak dan korup.

“Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, lebih menyedihkan ketika berkempen calon tersebut memilih mengutuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Lebih menyedihkan apabila kewujudan api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut yang berkempen dalam pilihanraya dengan cara mengutuk parti dan Presidennya sendiri.

“Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata tindakan tersebut memberi gambaran buruk kepada kepimpinan parti yang dahulunya ‘menatang’ mereka sehingga dapat menjadi menteri beberapa kali.

“Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti?,” tegasnya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, situasi tersebut secara tidak langsung meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara.

“Bagaimana rakyat nak yakin bahawa kita boleh membawa kestabilan jika pemimpin atasan dilihat bercakaran?,” soalnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here