SEMUA ahli Umno diseru agar mengembalikan semula, kesatuan dalam Umno supaya tiada lagi kelompok, kabilah, dan kepuakan dalam parti itu.
Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, Umno perlu diselamatkan dan diberi nafas baru.
“Kita baiki akan ia dengan jiwa dan raga, bukan sekadar kudrat. Kita singkirkanlah segala pemikiran kepuakan, kem dan kelompokan. Kita hanya ada satu pasukan, iaitu pasukan Umno.
“Kepada ketua-ketua kabilah dalam Umno ini, Allah telah memberikan kamu peluang untuk menikmati kuasa, dan nikmat kesenangan melalui Umno,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, malam ini.
Menurutnya, ini adalah peluang terakhir untuk Umno yang jika disia-siakan peluang ini, maka Umno akan ‘ditalkinkan’ sedekad mendatang.
Sementara itu, Mohamad memaklumkan kepimpinan Umno kini sedang meneliti dan meneroka jalan terbaik untuk parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Menurutnya, selain itu usaha mempersiapkan parti untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) juga sedang direncanakan.
Beliau berkata, bagi tujuan itu Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Sekretariat dalam meneroka jalan berkenaan.
Justeru, beliau menyeru semua ahli agar tampil memberikan idea dan pandangan dalam mencari jalan terbaik untuk Umno memenangi PRN yang akan datang nanti.
“Tampillah ke depan bagi idea dan pandangan. Kita bersedia mendengar sebelum membuat keputusan.
“Kita akan olah apa sahaja pandangan…akan terokai apa sahaja jalan supaya dapat memastikan yang terbaik untuk membangun dan menjadikan Umno sebuah parti yang bangkit semula pada PRU-16 nanti,” katanya. – Malaysiapost

