DATUK Seri Ahmad Maslan mengakui mood Umno bercampur baur menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang membuka tirainya, hari ini.
Setiausaha Agung Umno itu berkata, pastinya perasaan suka dan duka masih menyelubungi setiap ahli Umno ketika PAU 2022 yang berlangsung selama empat hari ini.
Apatah lagi, jelasnya, perasaan bercampur baur itu masih lagi terasa sejak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mana parti itu menunjukkan prestasi terburuk dalam sejarah, namun bernasib baik masih menjadi sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan.
“Bercampur suka dan duka. Duka kerana tak menang pada PRU15 dan suka kerana kita menjadi satu angka yang penting.
“Antara dua pilihan, jadi pembangkang memang kita tak mahu jadi pembangkang. Kita diberi pilihan mahu dengan Kerajaan Perpaduan atau Perikatan Nasional (PN).
“Perasaan kita suka kerana Kerajaan Perpaduan lebih baik berbanding dengan PN. Kita duka kerana kita tak berjaya memenangi seperti zaman sebelum itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, perbahasan perwakilan Umno dalam PAU 2022 ini akan memberi penekanan berhubung penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Seramai 3,000 perwaklian Umno akan diberi penjelasan mengenai Kerajaan Perpaduan pada petang ini jam 2.30 bersama Presiden dan beliau akan perincikan.
“Sudah tentu ucapan dasar Presiden nanti akan menyentuh perkara ini, namun banyak perkara dalam ucapan dasar itu yang memerlukan perwakilan memperincikan dalam perbahasan nanti,” katanya. – Malaysiapost

