SELEPAS negara digemparkan dengan tindakan pasangan dari Russia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118 baru-baru ini, kini sekumpulan warga asing dikesan turut melakukan perkara sama.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pencipta kandungan YouTube atau ‘YouTuber’, Driftershoots dengan memuat naik video ‘pencerobohan’ yang didakwa dilakukan pada 30 Disember lalu.
Menerusi video berdurasi tujuh minit 18 saat itu, memaparkan kumpulan tersebut yang terdiri daripada tiga individu dengan muka dua daripada mereka dikaburkan menyelinap masuk ke tapak bangunan dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.

Malah, mereka kemudian memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk ke puncak menara, sebelum memanjat bangunan itu menuju ke puncak.
Dalam video sama juga, mereka turut meraikan kejayaan selepas ‘menawan’ Menara 118 di bilik hotel mereka.
Video itu menunjukkan mereka sampai ke puncak menara berkenaan dalam meredah hujan.
Dalam penerangan video itu, kumpulan itu berkata bahawa pendakian berkenaan ‘memakan masa, sukar dan penuh dengan cabaran’.
“Beberapa percubaan telah berakhir dengan ada individu dipenjarakan, jadi kami sedar yang kami berdepan risiko besar.
“Perjalanan berakhir dengan jayanya dan rakaman ini merupakan hadiah untuk mengakhiri tahun ini.
“Video ini merupakan ‘ungkapan artistik kebebasan yang dilakukan demi cinta’, (namun) saya tidak menggalakkan sesiapa untuk meniru tindakan yang ditunjukkan dalam video ini,” ujarnya.
Sebelum ini, tular aksi pasangan Rusia, Angela Nikolau dan Ivan Beerkus yang menceroboh Menara Merdeka 118 dengan memanjat ke puncak pencakar langit berkenaan.
Pasangan yang terkenal dengan aksi memanjat puncak bangunan itu menjadi bualan warga tempatan selepas gambar mereka di puncak menara itu dimuat naik di media sosial.
Malah, Nikolau juga telah mendedahkan di Twitter tentang bagaimana dia menyamar sebagai pekerja binaan yang bertudung untuk menyelinap masuk ke dalam bangunan itu. – Malaysiapost

