TH bagi keutamaan kepada jemaah giliran tunai haji 2020

0
2

TABUNG Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran menunaikan ibadat haji dengan mengutamakan bakal haji giliran 2020 terlebih dahulu, diikuti 2021 dan 2022, tidak lama lagi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata keutamaan diberikan kepada bakal jemaah yang masih menunggu giliran mereka disebabkan pandemik Covid-19, sebelum diikuti dengan bakal haji giliran 2023.

Beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi memberi kuota penuh 31,600 kepada Malaysia untuk musim haji tahun ini.

Katanya, langkah diambil TH itu adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

“TH sudah mula membuat persiapan awal sebaik sahaja tamat operasi musim lalu untuk membuat beberapa penambahbaikan bagi mengekalkan mutu perkhidmatan dan memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah sentiasa terjamin.

“Rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI juga akan dibuka dan tarikhnya akan diumumkan oleh TH dalam masa terdekat. Pemilihan rayuan haji ini adalah berpandukan kriteria tertentu dengan rayuan mahram akan diberikan keutamaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga menasihatkan semua bakal jemaah haji untuk menghadiri kursus asas haji sebagai persediaan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di Tanah Suci.

Kursus asas haji TH dijalankan selama 13 minggu bermula 25 November 2022 sehingga 17 Februari 2023. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here